Isnin, 1 Mac 2010

Cinta kepada Rasul


Malu untuk menulis entry ini, terasa tidak layak dan berdosa. Diri gagahi juga demi menyatakan kerinduan untuk belajar mencintai baginda SAW.

Terasa pentingnya mempunyai ikatan yang kuat dengan Rasulullah SAW. Di waktu ini hadis baginda mula terserlah benarnya; Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang yang asing..

Dan siapakah yang mengamalkan Islam tidak berasa asing dalam kehidupan akhir zaman ini?

“Belajar rajin-rajin, nanti hantaran boleh letak 20 ribu,” pesan seorang mak saudara kepada anak saudaranya yang baru masuk ke IPT.

“I mahu you tulis kisah nabi-nabi Kristian yang jahat. Dalam Bible diceritakan begitu, watak Yaakub ni you buat dia ada hubungan sulit dengan orang..” kata seorang penerbit Cina kepada penulis skrip Melayu untuk drama Melayu yang bakal disiar di stesen televisyen di Malaysia. Sambil itu dia turut memberikan Bible tersebut untuk rujukan penulis itu. (Pengakuan penulis ini kepada saya membuatkan saya hampir hilang kewarasan..masya Allah, teruknya kita dimainkan puak-puak kapitalis Kristian ini)

“You tulis cerita mudah-mudah saja. Tak perlu research. Orang Melayu suka drama yang ringan yang penting seronok,” kata penerbit Cina yang kaya (dan menjadi kesayangan pihak stesen televisyen) kepada seorang penulis skrip yang diupahnya. Dia melihat bangsa Melayu sebagai bangsa yang suka ‘berhibur walaupun hiburan yang tiada ilmu.

“Adik, pernah tak terfikir nanti, jika awak kahwin dengan dia, dia akan masuk Islam?” tanya saya kepada junior di UM yang bercinta dengan wanita Cina Kristian. Adik itu kemudian menggeleng kepala. Setelah bercakap dengannya, saya dapat menerka, dia seorang yang liberalis agama. Walaupun Islam boleh juga menerima agama lain tanpa perlu memaksa pasangan masuk Islam. Saya hanya mampu mendoakan junior itu dari jauh.

Kisah-kisah berikut hanya secubit garam dalam kehidupan moden kini. Cuba tanya kepada generasi muda Muslim sekarang, apakah tujuan dan matlamat kehidupan mereka? Apakah mereka tahu cara bersuci (buang air kecil misalnya) yang menepati syarak (niat beristinjak ketika membasuh)? Atau, cukupkah solat fardhu mereka sehari semalam? Ramaikah lagi yang menjadikan al-Quran sebagai hiburan hati berbanding televisyen? Dan berapa kerat yang tidak ’suka’ tidur selepas Subuh?

Budaya couple sebelum kahwin sudah menjadi tabiat dan amalan yang diterima baik dalam masyarakat. Malah, segelintir keluarga sanggup memanjangkan tempoh pertunangan asalkan pihak lelaki dapat menyediakan wang hantaran begitu tinggi kepada pihak perempuan. Dalam tempoh itu juga, ibubapa tidak gusar jika anak mereka ke sana ke mari dengan pasangan yang belum ada apa2 ikatan. Panggilan ’sayang’, ‘cinta’, ‘abang’, ‘honey’, ‘baby’, ‘papa- mama’ bagi pasangan bercinta sangat normal sebelum berkahwin. Tidak ada apa yang perlu ditegur, semua kita menerima keadaan itu. Yang tidak bersetuju, pasrah dalam hati tanpa ada kekuatan untuk menegur.

Dalam keluarga, ibubapa membiarkan televisyen mendidik anak-anak. Hasilnya, anak-anak hasil didikan televisyen ini menjadi orang yang anti akhlak, penentang arus, free thinker, bebas, poyo (istilah semasa), hedonis dan peniru watak barat. Tiada lagi unsur ketuhanan seperti sifat Allah SWT YANG LEMAH LEMBUT, PENYAYANG, PENGASIH, BIJAKSANA,PENGAMPUN dan lain-lain dalam diri generasi muda. Orang muda dikenal sebagai kaum pemberontak dalam kebanyakan buku-buku di pasaran kerana watak mereka itu.

Ya Allah..hanya berpegang kepada sirah RASULULLAH SAW sahaja dapat mengembalikan format sebagai Mukmin. Tanpa panduan baginda SAW, maka akan hanyutlah kita di bawa tsunami globalisasi. Dalam kegersangan akidah, akhlak dan syariat umat kini, terasa sepi hati tanpa pedomanNYA. Siapa lagi boleh menjadi pemandu kita semua jika bukan Nabi Muhammad SAW? Sirah bagindalah yang paling banyak ditulis dan disebarkan di seluruh dunia, ayuhlah kita membaca dan menghayati pedoman baginda SAW kepada kita. Marilah kita berselawat ke atas baginda SAW yang telah banyak berkorban untuk keselamatan umatnya di dunia dan akhirat.

YA RASUL, aku ingin berlatih mencintaimu. Aku malu.

زهرة الجنه

Tiada ulasan:

Catat Ulasan